Friday, December 31, 2010

Diari ekonomi 2010: Kebimbangan terhadap ketidakstabilan di Timur Tengah dan juga Asia Tengah


Melihat kepada perkembangan semasa, perkara yang ditakuti kebanyakan pemerhati politik menjelang tahun baru adalah krisis yang berlaku antara Pyongyang dan juga Seoul.  Persengketaan yang tercetus semakin menjadi-jadi apabila kedua-dua negara cuba membakar api persengketaan dengan melakukan persediaan ketenteraan tatkala krisis antara kedua-dua negara semakin bergolak. Dengan Pyongyang dikatakan mendapat sokongan dan pengaruh daripada rejim komunis di China, Seoul pula mendapat sokongan padu White House yang menjadikan krisis yang berlaku ini semakin rumit. Kebimbangan Amerika Syarikat dengan perkembangan ekonomi serantau Asia terutamanya China menjadikan krisis antara Pyongyang dan Seoul dilihat pemerhati sebagai permusuhan diantara dua kuasa ekonomi dunia.

Perkembangan yang berlaku di Timur Tengah juga bukanlah satu perkara yang begitu menarik di penghujung tahun 2010 bagi pemerhati politik. Keberjayaan Iran untuk menghasilkan sebatian uranium yang tersendiri membolehkan negara teluk itu tidak perlu lagi bergantung kepada import negara luar untuk menghasilkan tenaga nuklear bagi menjana kuasa elektrik di negara tersebut. Situasi ini memberi tekanan kepada White House untuk mendesak dalam memastikan Iran tidak dibenarkan dalam menggunakan tenaga nuklear yang dilaporkan akan menggunakan tenaga nuklear tersebut untuk tujuan ketenteraan.  Ketakutan yang  ketara jelas terpancar daripada pentadbiran di White House walaupun Iran sudah berkali-kali menegaskan pengayaan tenaga uraniumnya adalah semata-mata untuk penjanaan tenaga elektrik. Ketakutan tidak berasas inilah yang menjadikan pergolakan di Timur Tengah kemungkinan akan berakhir dengan satu lagi episod peperangan selepas Afghanistan pada tahun 2001 dan Iraq pada tahun 2003.

Krisis yang berlaku di kedua-dua tempat memberi kesan secara langsung kepada ekonomi dunia. Dengan Iran merupakan pengeluar minyak kelima terbesar didunia; peperangan di Iran akan menyebabkan harga minyak melambung tinggi sekaligus memberi kesan kepada harga barang asas yang lain. Statistik jelas menujukkan bahawasanya selepas sahaja peperangan di Iraq pada tahun 2003 sehingga kini, harga minyak telah naik secara mendadak sebanyak lima kali. Kedudukan Iraq hanyalah ditempat ke-12 dalam senarai pengeluar minyak terbesar dunia. Bayangkan sekiranya Iran diserang, berapa kali gandakah harga minyak akan meningkat, dan berapakah kadar inflasi semasa dalam negara yang akan ditanggung oleh seluruh rakyat di serata dunia.

Persengketaan antara dua negara jiran Korea sebenarnya tidaklah memberi kesan yang besar kepada keadaan semasa ekonomi dunia. Namun sekiranya perang dingin antara kedua-dua negara jiran itu benar-benar berlaku. Malaysia akan menerima impak yang agak besar kerana nilai eksport negara terhadap negara Korea bernilai lebih 20 billion setahun yang menjadikan Korea sebagai destinasi eksport ketujuh terbesar bagi negara Malaysia. Peperangan bermaksud nilai eksport negara akan merosot secara mendadak dan mengakibatkan ekonomi negara akan terjejas dengan teruk. Hal ini diburukkan lagi dengan ketirisan wang akibat daripada penyelewengan daripada pentadbiran yang sedia ada sehingga dianggarkan hampir 30 billion wang negara dibazirkan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Keamanan adalah kunci kepada percambahan ekonomi dunia. Perkembangan yang stabil dalam ekonomi dunia membolehkan Malaysia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dalam ekonomi serantau dan membolehkan Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi semasa. Itupun sekiranya tidak berlaku penyalahgunaan wang oleh pihak tertentu dalam pentadbiran. Keamanan juga bermaksud perolehan dalam negara akan dapat ditingkatkan. Ketidakstabilan politik boleh menyebabkan huru-hara yang melampau dan menyebabkan perniagaan domestik tidak dapat dipacu dengan baik.

Namun begitu, keamanan tidaklah bermaksud rakyat tidak boleh berdemonstrasi. Demonstrasi diperlukan untuk menyatakan suara rakyat secara terus kepada pemerintah. Peningkatan harga barang, kenaikan harga minyak, ketirisan wang dalam pentadbiran serta penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa memerlukan rakyat untuk bersuara bagi memastikan kepentingan mereka terpelihara. Hak yang terpelihara inilah yang membuka peluang kepada rakyat untuk meraih kelebihan hasil keamanan global pada masa kini. Sekiranya perkara ini tidak diambil berat, dikhuatiri kelebihan hasil keamanan ini akan dibolot oleh segolongan individu berpengaruh sahaja.

Isu Palestin juga menjadi sorotan terpenting dalam diari kalendar 2010. Dengan keberangkatan rombongan kapal Mavi Marmara, komitmen yang ditunjukkan seluruh negara terlibat menunjukkan kesatuan untuk memastikan keamanan sejagat begitu diberikan perhatian pada tahun ini. Keadaan ini tercetus bilamana ramai pemerhati merasakan isu ini harus diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh. Mereka tidak sanggup lagi untuk menerima tempias akibat peperangan terutamanya selepas kejatuhan ekonomi global akibat siri-siri peperangan yang tidak menentu. Dari meja penulis, penulis mengharapkan keamanan dapat dicapai di Palestin dengan keluarnya Israel daripada tanah Palestin.

Untuk akhirnya, keamanan hanya dapat dicapai melalui toleransi agama dan budaya. Tanpa toleransi, pergaduhan akan tercetus dimana-mana sahaja. Kepelbagaian budaya dan agama menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memerlukan toleransi antara kaum. Sikap terlalu mementingkan diri dan kaum harus dielakkan terutamanya dalam era globalisasi yang memerlukan seluruh tenaga untuk bersatu dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Harith Hasyimi bin Hishamudin
Pelajar Jurusan Sistem Maklumat Perniagaan
Universiti Teknologi PETRONAS.

Artikel diatas merupakan pandangan penulis semata-mata dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana individu tertentu. Sebarang komen amatlah dialu-alukan.

Sumber:
Buku Jingga – Pakatan rakyat

4 comments:

  1. Dalam konteks Malaysia, proses liberalisasi ekonomi diteruskan dalam usaha untuk meningkatkan proses penjanaan modal. Begitu juga, dengan pelancaran dinar emas dan dirham perak oleh kerajaan negeri Kelantan telah membawa satu gelombang ekonomi baru kepada negara, terutama dalam konteks perbincangan untuk merealisasikan perkara tersebut sama ada relevan ataupun tidak sama ada di peringkat ahli akademik dan orang awam.

    Isu penarikan subsidi juga menjadi satu isu yang menarik sepanjang tahun ini. Kenaikan harga barang juga dirasai tatkala kerajaan mula menarik subsidi minyak dan gula; dua barang yang cukup penting bagi rakyat Malaysia. Satu alasan yang telah dinyatakan oleh pihak kerajaan bagi penarikan subsidi tersebut adalah dalam usaha untuk menginjeksi kembali ekonomi.

    Selain daripada itu, pembentangan bajet 2011 oleh YAB Perdana Menteri cukup menarik minat rakyat, termasuk cadangan pembinaan Menara Warisan yang akan diselenggarakan oleh Khazanah Warisan dan juga menjadikan 300 barangan kegemaran pelancong dimansuhkan duti importnya, dalam usaha untuk menarik pelaburan dari luar. Mungkin sahaja kerajaan melihat Singapura mencapai kemajuan dan antara salah satu sebabnya adalah kerana penekanan terhadap industri pelancongannya.

    Namun begitu, imej pelancongan negara sebenarnya perlu diperbaiki. Kes kemalangan bas yang membawa pelancong Thailand, menyebabkan kematian seramai 28 orang adalah satu perkara yang perlu diteliti. Kemungkinan terdapat ketirisan dari sudut sikap mahupun penyelenggaraan yang akan mencemarkan imej negara.

    Mungkin lembaran baru 2011 akan menyaksikan peristiwa-peristiwa yang lebih baik?

    ReplyDelete
  2. Siapakah yang berminat untuk mengupas berkenaan isu subsidi?

    ReplyDelete
  3. Hasbullah : Is Khazanah Warisan similar to PNB? Kami pernah bentangkan CBA about Menara Warisan Merdeka in class. Personally I think tourism based on materialty should come latter in the budget. We have natural resources which can be developed rather than spending billions (during downturn)on mega projects which are falteringly profitable.

    ReplyDelete
  4. Tak pasti pula sama atau tak.
    Personally, saya juga berpandangan sama, pelancongan perlu diletakkan kemudian. Natural resource yang kita ada sekarang perlu dikreatifkan dari sudut penghasilan produk, biar kita jadi bukan saja pengeksport bahan mentah, tapi juga pengeksport hasil buatan kita.

    Tapi, main prob adalah, kita perlu ubah mentaliti masyarakat. Saya tertarik dengan konsep reverse engineering juga..

    Kalau nak tahu, silalah wiki.. =p

    ReplyDelete