Thursday, January 6, 2011

Penetapan Gaji Minimum : Untung atau satu kerugian?

Model Baru Ekonomi (MBE) menekankan kepada tiga perkara iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Sasaran untuk menjadikan Pendapatan Kasar dalam Negara per Kapita, daripada USD 7000 (dalam konteks sekarang) kepada USD 15 000 pada tahun 2020. Ini merupakan satu usaha yang cukup perlu diberi penekanan dalam usaha untuk memastikan kelangsungan matlamat.

Penetapan Gaji Minimum

Satu perkara yang perlu diberi perhatian di sini adalah berkaitan dengan konsep penetapan gaji minimum, sama ada ini merupakan satu kerugian mahupun keuntungan. Perbezaan pandangan berkaitan dengan perkara ini berlaku antara majikan dan kerajaan, dalam erti kata yang lain, kerajaan cuba bersikap menjadi menjaga kebajikan, sedang majikan pula mempertimbangkan kesan dari sudut keuntungan.

Perlu diambil perhatian, dalam konteks sektor swasta, kadar gaji ditentukan melalui kuasa pasaran iaitu melalui kaedah permintaan dan penawaran. Sebaliknya tiga cara diguna oleh kerajaan untuk menetapkan gaji iaitu melalui kuasa pasaran, perjanjian bersama dan Majlis Penetapan Gaji.

Apakah penetapan gaji minimum ini akan membawa kebaikan, keuntungan atau kerugian? Dalam konteks survival ekonomi sedia ada sekarang, penetapan gaji minimum ini pada pandangan penulis, akan menyulitkan operasi kewangan syarikat-syarikat yang terpaksa bersaing hebat antara satu sama lain. Kelembapan ekonomi sekarang akan menyebabkan berlakunya satu krisis yang sudah pasti tidak akan dinafikan, iaitu krisis pembuangan pekerja disebabkan syarikat-syarikat ini tidak mampu untuk membayar gaji pekerja. Maka, secara logiknya, pengangguran akan semakin bertambah.

Manakala dari sudut kebajikan, cadangan ini merupakan satu cadangan yang cukup baik terutama dalam membicarakan tentang tanggungjawab sosial dalam usaha untuk meningkatkan tahap dan taraf kehidupan rakyat. Cuma, perlu diingatkan, pada pandangan penulis, pelaksanaan gaji minimum, perlu diambil kira juga dari sudut faktor geografi atau kawasan. Kuasa membeli pengguna dengan pendapatan RM1000 sebagai contoh di Kuala Lumpur, tidak sama dengan kuasa membeli pengguna dengan pendapatan yang sama di Kuala Terengganu.

Dalam hal ini, siapakah yang untung? Siapa pula yang rugi?

Persoalan dan Pandangan

Penswastaan dan liberalisasi ekonomi, dengan pengawalan, mungkin merupakan satu langkah yang terbaik. Saya berpandangan, penetapan gaji minimum yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan perlu mengambil kira prestasi kebanyakan syarikat. Dari sudut pandang kebajikan manusia, perkara ini dapat mengelakkan penindasan daripada berlaku kepada pekerja, namun sekiranya perkara ini menjadi satu beban kepada majikan, apa pula kesannya kepada pekerja-pekerja ini dalam jangka masa yang panjang?

Begitu juga, penyelarasan juga perlu dilakukan kepada pekerja yang bekerja sementara, apakah mereka juga terlibat dalam penetapan gaji minimum ini? 

Pandangan penulis, penulis beranggapan, seeloknya, kadar gaji itu ditentukan sendiri oleh majikan dan pekerja berhak untuk memilih dan menerima tawaran antara majikan-majikan tersebut. Seeloknya, dalam tempoh ketidakstabilan sekarang, biarkan sahaja persaingan untuk mendapatkan pekerja melalui penawaran gaji berlaku, supaya perkara itu sendiri yang membaiki keadaan ekonomi dan perkembangan syarikat.

Lebih saya bimbang, penetapan gaji minimum ini, ada unsur-unsur menjadi 'hero' rakyat!


MOHD HASBULLAH MOHAMAD FAUDZI
IJAZAH SARJANA MUDA EKONOMI
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

No comments:

Post a Comment